Japandi: Konsep Gabungan Jepun & Scandinavia
Konsep yang menjadikan kediaman nampak lebih elegan dan teratur.
Reka bentuk JAPANDI menggabungkan elemen seni Jepun dengan keselesaan Scandinavia (Hygge). Estetika reka bentuk Jepun dan Scandinavia tertumpu pada kesederhanaan, elemen semula jadi, dan keselesaan. Konsep ini juga boleh dikategorikan sebagai hibrid atau kacukan gaya dekorasi asia dan barat.
Ia bukan sekadar sebuah konsep, malah ia merupakan falsafah hidup yang menggabungkan kesederhanaan gaya Jepun dengan gaya modern-rustic Scandi. Dengan gabungan rekabentuk dalam konsep Japandi ini mampu menghadirkan sentuhan segar dan moden bagi sesebuah kediaman.
Mengikut gaya Jepun ia lebih mengutamakan tona warna yang gelap, manakala dalam gaya Scandinavian menggunakan warna yang terang atau pastel. Gabungan antara dua tona warna yang berbeza ini akan menyerlahkan lagi suasana kediaman.
Bagi anda yang suka kepada kesederhanaan, konsep ini amat disarankan untuk dijadikan inspirasi dalam dekorasi kediaman anda.
Berikut adalah beberapa elemen yang ada pada konsep hiasan dalaman Japandi.
Simplicity
Konsep ini lebih mementingkan keringkasan atau minimalism. Jadi, anda perlu mewujudkan ruang yang kemas, luas, dan lapang tanpa menggunakan aksesori serta perabot yang banyak.
Bahan Semulajadi/ Unsur Alami
Bahan semula jadi yang boleh digunakan dalam mewujudkan konsep Japandi adalah seperti kayu-kayan, buluh, rotan, linen, bulu dan kertas. Malah, unsur semula jadi daripada pasu tanah liat dan tumbuh-tumbuhan menghijau dapat juga diterapkan untuk sudut kediaman Japandi. Tumbuhan yang menghijau ini juga dapat membantu membersihkan udara di dalam kediaman.
Kombinasi Dua Gaya
Gabungan antara dua gaya ini dapat menyerlahkan lagi suasana kediaman supaya nampak elegen dan teratur. Penggunaan perabot warna gelap dari gaya Jepun dan warna terang dari Scandi menjadikan suasana kediaman tampak terang dan segar.
Aksesori Dengan Fungsi
Gaya Japandi ini mengutamakan aksesori yang mempunyai fungsi berbanding sekadar perhiasan. Penggunaan bidai buatan buluh sebagai pembahagi ruang, buku-buku, perkakas hidangan seramik, mangkuk atau dulang dan digabungkan hangatnya keselesaan gaya Scandi dengan bantal besar yang empuk atau permaidani yang lembut.
Warna Kontra
Gabungan rona neutral lembut dari konsep Scandinavian yang dikontrakan dengan tona lebih gelap dan malap dari gaya Jepun. Kedua-dua gaya ini melengkapi antara satu sama lain dengan penggunaan tona warna yang berbeza menjadikan ruang nampak terang dan luas.
Sumber: Pinterest.com