WARNA MEMPENGARUHI
MOOD & EMOSI SESEORANG
Apakah perkaitannya antara warna cat pada dinding rumah dan anda?
Warna bukan sahaja memberi tarikan pada mata yang memandang, bahkan ia memberi kesan kepada mood dan emosi seseorang. Selain itu, warna juga boleh menyerlahkan personaliti dan perwatakan seseorang.
Pemilihan warna pada dinding rumah amat penting dalam mempengaruhi psikologi kita terutamanya pada bahagian ruang tamu, dapur, ruang makan, bilik tidur, bilik air dan setiap ruang yang ada.
Kelabu
Warna kelabu merupakan warna yang bersifat neutral dan fleksibel. Ia adalah salah satu daripada warna asas yang boleh dipadankan dengan kebanyakkan warna lain seperti putih, biru dan macam-macam lagi warna yang diinginkan.
Warna neutral boleh membuatkan ruang tampak lebih moden dan kemas. Malah ia juga sesuai digunakan untuk semua jenis ruang dalaman.
Foto Kredit: pinterest.com
Biru
Warna biru dianggap warna yang menenangkan, santai dan tenang. Ia sesuai dijadikan warna untuk ruangan dapur supaya kelihatan lebih bersih dan mesra.
Selain itu, biru juga sesuai dijadikan warna untuk bilik tidur. Warna ini merupakan warna yang tampak menenangkan serta membantu seseorang tidur lebih lena. Bahkan ia mampu mengurangkan tekanan darah serta membantu memperlahankan/ menstabilkan pernafasan dan degupan jantung supaya berada dalam keadaan rehat.
Tambahan lagi, ia juga dapat mencetuskan inspirasi seseorang kerana warna biru dapat membuatkan seseorang menjadi lebih produktif serta kreatif. Oleh itu, ia juga sesuai untuk menghias ruang kerja atau pejabat.
Foto Kredit: lindaskaret.com
KUNING
Warna kuning merupakan warna yang menyerlah dan terang, dan kadang-kadang boleh nampak silau. Tetapi, warna kuning ini dapat mencerahkan ruangan yang ada di kediaman anda.
Oleh itu, warna ini sesuai dihiaskan di dapur kerana ia dapat mencerahkan ruangan dapur anda dengan serta-merta. Malah, ia juga dapat mewujudkan suasana yang menenangkan dan bahagia di dapur anda.
Tambahan lagi, kuning merupakan pilihan yang terbaik untuk ruangan yang kecil. Ini adalah kerana kuning boleh membuatkan bilik berasa lebih besar dan cerah. Bahkan, ia juga amat sesuai dipadankan dengan warna putih dan kelabu.
Selain itu, warna kuning dapat membangkitkan mood seseorang agar lebih ceria dan aktif untuk saling berinteraksi. Ia juga mampu membuatkan seseorang untuk berfikir secara kreatif dan kritis. Dan ia sangat sesuai digunakan untuk ruang pejabat.
Foto Kredit: idealhome.co.uk
HIJAU
Warna hijau merupakan warna yang menenangkan dan menyejukkan mata. Hijau merupakan warna yang sesuai untuk dipadankan dengan warna kabinet kayu di rumah anda. Ia bukan sahaja mempamerkan imej yang lebih klasik malah turut memberikan suasana yang lebih produktif sewaktu melakukan sesuatu aktiviti.
Selain itu, ia amat sinonim bagi pencinta alam sekitar. Sekiranya diterap pada ruang dapur, ia dapat mencipta suasana yang tenang sewaktu sibuk di dapur.
Hijau juga mampu menyemarakkan suasana hangat bagi mengeratkan hubungan sekiranya diterapkan pada ruang tamu. Malah, penggunaan warna hijau juga dipercayai dapat membantu mengurangkan stres dan merupakan simbol kesuburan. Oleh itu, ia juga sesuai untuk dijadikan warna latar bagi bilik tidur.
Foto Kredit: idealhome.co.uk
MERAH
Warna merah melambangkan keyakinan, kegembiraan dan tenaga. Selain itu, ia merupakan warna yang mengujakan dan boleh membuatkan seseorang lebih bersemangat, membangkitkan selera makan, sekaligus mewakili suasana yang romantis dan sensual.
Tetapi, ia juga boleh meningkatkan tekanan darah jika kombinasi warna tidak dipadankan dengan betul. Oleh yang demikian, ia mungkin kurang sesuai digunakan untuk bilik tidur kerana dapat membuatkan seseorang berasa cemas dan tidak tenteram.
Foto Kredit: homestratosphere.com
UNGU
Warna ungu gelap dapat menonjolkan rasa romantik, misteri, dan aura mewah serta sofistikated di samping mencetus ilham untuk berkarya dan kreativiti yang dapat merangsang motivasi. Oleh itu, warna ini sesuai diterapkan untuk ruang tamu, dapur, mahupun pejabat.
Bagi bilik tidur, ia lebih sesuai dengan warna kombinasi ungu lembut kerana ia mendamaikan dan membantu anda lebih relaks, dan memberi ketenangan dan kenyamanan.
Foto Kredit: renovaten.com
Warna merupakan alatan yang memberi impak besar dalam rumah seseorang. Ia bukan sahaja dapat mengubah suasana dalam rumah mengikut cita rasa pemilik, malah dapat membuatkan sesebuah ruang menjadi lebih lapang, kecil, bahkan dapat membantu menyerlahkan lagi perabot yang digunakan.
Penggunaan warna perlu dihadkan kepada 3 ke 4 warna termasuk perabot supaya ruang dalaman kekal kemas dan tidak kelihatan terlalu berserak.
Pemilihan warna memberi kesan yang besar kepada mood dan emosi seseorang serta mampu mempengaruhi suasana dalam rumah tersebut. Adalah penting sekiranya dapat memilih warna yang dapat mengecapi suasana kekeluargaan seperti ketenangan, kebahagiaan serta keselesaan.
